Ahad, 4 Disember 2011

Kuala Gula: Lawatan Hutan Paya Laut, Bakau & Memerhati Burung

Lawatan Hutan Paya Bakau & Memerhati Burung Kuala Gula

29 Nov 2011: Seramai 72 murid dan guru Kafa Insaniah PJ menyertai aktiviti ini dengan menggunakan 7 bot. Ketika sampai aku lihat wajah setiap murid diulit kemuraman dan mendapati kerana tidak cukup tidur semasa bermalam di Kompleks Guru Kg Jambu, Taiping. Ketika En Azhar ketua Sahabat Hutan Bakau memberi penerangan, tidak banyak yang mendengar. Muka mereka mula terserlah bila disuruh mencuci muka. Mereka bertambah aktif dan mula bertanya apabila menghadapi masalah memasang klip ke3 life jacket yang terpaksa melalui celah kangkang.
Setiap kumpulan diberi satu nota dan pek aktiviti Menjelajah Hutan Bakau, aktiviti pertama menyusuri sungai dan melihat perkampungan nelayan dengan pelbagai jenis bot yang digunakan. Kelihatan pekerja sedang membersihkan pukat dan ada yang sedang menggredkan udang di pelantar.

Burung helang berterbangan memerhatikan ikan kecil yang dibuang oleh nelayan, semakin lama semakin hampir dan akhirnya menjunam dan menangkap ikan yang terapung di permukaan air. Anjing dari rumah sangkar ikan menyalak sakan melihat bot kami yang menghampiri sangkar ikan. Nelayan sangkar memelihara anjing bagi mengawal sangkar mereka dari diceroboh memerang.

Peserta juga dibawa melawat perusahaan menternak ketam kulit lembut dan sangkar ikan.
Semasa pembesaran ketam sebenarnya menyalin kulit beberapa kali. Satu penemuan bagi menjangka masa penyalinan kulit telah mengembangkan industri ini. Dalam tempoh 21 hari dipelihara maka hasilnya boleh dituai. Gambar di atas menunjukkan cengkerang kulit lama masih melekat pada cengkerang baru yang masih lembut. Seekor ketam kulit lembut saiz sederhana yang digoreng tepung berharga RM5 pada Dec 2011.
Dalam perjalanan berjumpa dengan nelayan yang sedang menuai hasil. Sembilang, belangkas dan pelbagai jenis ikan lagi mengisi perut sampan. Aktiviti yang paling menarik sekali ialah menggagau kerang. Masa kami datang amat tepat kerana ketika itu air surut pada paras terendah. Mulanya hanya aku seorang yang berani mengagau dari atas bot, selepas mendapati aku dengan mudah mendapat kerang maka peserta lain memberanikan diri mencuba nasib.
Lebih banyak gambar dalam FB Khairul Salleh bin Ahmad
PENGHARGAAN DARI KETUA ROMBONGAN: USTAZ AHMAD ZAHURI:
Saya amat berbangga dengan perkataan 'Ustaz... kami semua merasa amat seronok dengan program yang ustaz rancang.. dan ini merupakan satu destinasi yang menepati apa yang tertera di atas name tag yang kami pakai 'DESTINASI HEBAT', terima kasih ustaz.' Justeru saya amat berterima kasih di atas kerjasama yang diberikan oleh warga Kuala Gula Resort..Encik Khairul, Pak Ndak dan semua yang terlibat menjadikan expedisi ini sebagai Destinasi Hebat. Sehingga jumpa lagi.....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan